Tuesday, October 21, 2008

Sambutan Hari Guru Kali Ke 18

Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Guru Ke-18 Tahun 1429 Hijrah / 2008 Masehi

TITAH
KEBAWAH DULI YANG MAHA MULIA PADUKA SERI BAGINDA SULTAN
HAJI HASSANAL BOLKIAH MU’IZZADDIN WADDAULAH,
SULTAN DAN YANG DI-PERTUAN NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

SEMPENA
MAJLIS SAMBUTAN HARI GURU KE-18
TAHUN 1429 HIJRAH/2008 MASIHI

PADA
HARI SABTU 17 SYAWAL 1429/18 OKTOBER 2008

BERTEMPAT
DI PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA, BERAKAS



Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Bismillahir Rahmanir Rahim

Alhamdulillahi Rabbil ‘Alameen  Wabihie Nasta’eenu ‘Alaa Umuriddunya Waddeen.  Wassalatu Wassalamu ‘Alaa Asyrafil Mursaleen Sayyidina Muhammaddin Wa’ala Alihie Wasahbihie Ajmaeen.  Waba’du.

Beta bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala kerana dengan limpah rahmat-Nya jua dapatlah kita berkumpul pada pagi ini untuk meraikan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang ke-18.  Pada kesempatan ini, beta ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua warga guru.

'Guru Pembentuk Tunas Bangsa' adalah tema sambutan pada kali ini.  Tema ini mencerminkan betapa besarnya peranan guru itu selaku tunggak bangsa.

Menjelang Januari 2009, kita akan melaksanakan suatu sistem yang dipanggil ‘Sistem Pendidikan Negara Abad 21’.  Ke arah perlaksanaan sistem ini, para guru menjadi pemegang amanah yang utama untuk menjayakannya.  Merekalah yang akan berada paling hadapan untuk menghadapi pelbagai tuntutan di bawah sistem ini.

Tuntutan terpenting ialah ‘perubahan-perubahan besar’ yang menjanjikan kualiti kehidupan kepada generasi-generasi mendatang.  Ia bukan hanya terbatas kepada kelompok-kelompokyang terhad, seperti mereka yang berkaitan dengan alam pendidikan sahaja, malahan mencakupi semua peringkat dan kepentingan di dalam negara.

Sebelum menyukat kemampuan pihak-pihak lain, keupayaan para guru hendaklah lebih dahulu diberikan perhatian.  Kerana itu, beta turut gembira mengetahui, bahawa Kementerian Pendidikan sekarang sedang aktif mempergiatkan pembangunan profesionalisme guru.
    Pendekatan ini tidaklah mengenepikan aspek hal-ehwal kesejahteraan bagi guru, seperti kenaikan pangkat yang pernah beta sebut sebelum ini.

Bermula 1 Jun 2008, beta telah pun memperkenalkan satu skim perkhidmatan yang baru bagi guru-guru, yang dipanggil Skim Perkhidmatan Perguruan.  Melalui skim ini, guru-guru yang berkaliber akan berpeluang untuk dinaikkan pangkat ke tingkat yang lebih tinggi dan sekali gus akan terus kekal bertugas di sekolah.

Selain daripada soal kenaikan pangkat, isu penguasaan ilmu juga merupakan satu keutamaan di bawah Skim Perkhidmatan Perguruan.  Kerana ilmu adalah menjadi sukat-sukat kualiti guru.  Oleh itu, inginlah beta melihat supaya latihan-latihan guru, sama ada di dalam negeri mahupun melalui Latihan Dalam Perkhidmatan luar negara dijadikan sebagai salah satu agenda utama oleh Kementerian Pendidikan.  Beta yakin usaha ini akan dapat kita jalankan dengan sebaik-baiknya.

Menyebut mengenai perubahan besar dalam perlaksanaan Sistem Pendidikan Negara Abad 21, tenaga guru adalah penggerak paling utama.  Kerana itu, untuk sampai kepada matlamat, maka tenaga guru yang mencukupi tidaklah boleh dipandang ringan dengan pandangan sebelah mata sahaja.

Beta turut mengambil maklum, bahawa Kementerian Pendidikan telah membuat perancangan untuk mengatasi perkara ini.  Tetapi pada hemat beta, bagi jangka pendek, kita belumlah ada pilihan lain, melainkan terus mengambil tenaga daripada luar negara.

Bagaimanapun, langkah ke arah meningkatkan jumlah guru tempatan bagi tempoh jangka panjang, mestilah terus dirancang.  

Dalam pada itu, perancangan yang kemas dan tepat jangan pula diabaikan, khasnya perancangan untuk melahirkan tenaga-tenaga peringkat tertinggi dan profesional, hendaklah dilihat dari sudut umur dan keperluan jangka panjang, bukannya setakat untuk mendapatkan pemegang ijazah semata-mata, sedang masa dan peluang untuk mereka berkhidmat tidak lagi panjang atau sangat terhad.

Oleh itu, wajarlah calon-calon bagi peringkat tertinggi dan profesional ini, akan dipilih dari tenaga-tenaga muda.  Sementara tengah kita menunggu mereka itu membawa kejayaan, adalah satu perkara biasa jika kita mendapatkan khidmat tenaga luar terlebih dahulu.

Selaras dengan perkembangan, beta telah memperkenankan bagi Institut Teknologi Brunei (ITB) dinaikkan tarafnya kepada sebuah universiti dengan mengekalkan namanya ITB.  Beta juga memperkenankan bagi sebuah politeknik baru ditubuhkan, dan memperkenankan Maktab Jururawat Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah ditempatkan di Institut Perubatan Universiti Brunei Darussalam serta dijadikan sebuah Jabatan Penjagaan Kesihatan.

Akhirnya, kepada penerima-penerima Anugerah Hari Guru pada tahun ini, beta mengucapkan setinggi-tinggi tahniah.  Negara adalah berharap agar anugerah ini akan dapat memberikan motivasi dan sumber inspirasi kepada semua guru untuk meningkatkan lagi kecemerlangan di dalam semua aspek pendidikan.  Semoga para guru kita akan terus mendapat pemeliharaan serta bimbingan daripada Allah Subhanahu Wata’ala.  Amin.

Sekian, Wabillahit Taufiq Walhidayah Wassalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

No comments: